Wednesday, May 6, 2009

Komen Mahfuz Omar mengenai Penangkapan Naib Presiden Pas Mohd Sabu








Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar mengutuk keras tindakan pihak polis yang menahan Naib Presiden PAS, Mohamad sabu tanpa sebarang waran dikemukakan sebentar tadi sekitar pejabat Harakah.
Sambil menganggap ianya suatu kesalahan, Ahli Parlimen Pokok sena itu tidak menafikan bahawa ianya mempunyai kaitan dengan persidangan Dun Perak yang akan diadakan esok.

"Jika ianya disebabkan oleh kebimbangan terhadap perhimpunan yang dijangka diadakan pada esok hari sempena persidangan Dewan undangan Negeri, ianya sememangnya suatu kesalahan," ujarnya ketika menghubungi Harakahdaily.

Jelasnya, hal tersebut adalah kerana Mohamed Sabu masih belum melakukan kesalahan tersebut kerana perhimpunan tersebut masih belum diadakan.

"Pihak polis dengan ini telah bertindak sebagai komponen BN apabila menahan Mohamed Sabu tanpa sebarang sebab yang dikemukakan.

"Saya berpendapat kemungkinan sebab persidangan Dun Perak yang mungkin dibimbangi oleh Kerajaan Umno-BN atau polis tentang ura-ura perhimpunan rakyat akan diadakan di hadapan Dewan Undangan Negeri," katanya.

Mahfuz menambah, berdasarkan undang-undang seseorang tidak boleh ditahan tanpa melakukan sebarang kesalahan.

Tindakan tersebut ujarnya merupakan perbuatan yang tidak demokratik serta melanggar hak asasi manusia.

Beliau tidak menafikan bahawa kesemua yang berlaku ini adalah berpunca daripada kerakusan Umno-BN merampas kerajaan negeri Perak daripada Pakatan Rakyat.

"Semua ini berlaku akibat tindakan BN merampas kerajaan Perak daripada Pakatan Rakyat sehingga mengheret istana dan polis terlibat dalam percaturan politik ini.

"Sepatutnya mereka bekerjasama untuk mengembalikan hak rakyat bukan menafikannya," ujarnya.

Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu ditangkap polis jam 3.10 petang tadi di hadapan Restoran Haslam, Jalan Pahang Barat dekat sini.

Sekumpulan anggota polis dipercayai Special Branch, dengan tiga buah kenderaan, menyerbu beliau, sebaik sahaja Naib Presiden PAS itu keluar dari restoran berkenaan.

Ihsan : Harakah Daily

No comments:

Post a Comment